MdA's Blog

Hanya sekadar blog...

23 artis culas langsai hutang

23 artis culas langsai hutang

PUTRAJAYA: Kedegilan 23 artis terkenal melangsaikan hutang bukan saja mengakibatkan mereka diisytihar bankrap, malah berdepan masalah lebih serius apabila enggan berunding dan mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) untuk menyelesaikan kes itu.


Ada antara artis terbabit berstatus bankrap sejak 20 tahun lalu dan diperintah membayar balik hutang secara ansuran, manakala sebahagian lagi bakal menghadapi tindakan tegas apabila hanya membayar RM50 untuk beberapa bulan seperti diarahkan mahkamah sebelum melesapkan diri.

Artis terbabit antara 275 individu daripada sektor hiburan yang diisytiharkan muflis. Kebanyakan mereka dikenal pasti sebagai artis terkenal dan diisytihar bankrap kerana gagal menjelaskan hutang selepas membuat pinjaman untuk perniagaan atau membeli kenderaan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, berkata 10 daripada artis terbabit diisytihar bankrap selepas gagal membayar pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman perniagaan (enam), menjadi penjamin korporat (tiga), kad kredit (dua) dan masing-masing seorang gagal melunaskan hutang pinjaman rumah serta tidak membayar cukai pendapatan.

Beliau berkata, daripada 23 selebriti tersohor itu, 12 memberi kerjasama baik, tujuh lagi ‘tenggelam timbul’ manakala empat langsung tidak nampak batang hidung, menyebabkan tindakan tegas terpaksa diambil sama seperti individu bankrap lain.

Sehubungan itu, katanya, MdI bercadang ‘melawat’ artis terbabit pada bila-bila masa selepas mereka dilihat terlalu culas, malah tidak pernah hadir berbincang dengan jabatan itu untuk merancang pembayaran semula hutang sebelum ini sehingga diisytiharkan bankrap oleh mahkamah.


Sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/23artisculaslangsaihutang/Article

0 comments:

Post a Comment

Followers